Buat renungan saudara-saudara ku yang memilih wadah keganasan dalam perjuangan:
"Bukanlah tujuan Nabi itu diturunkan untuk membunuh manusia kafir tetapi adalah untuk mengeluarkan manusia dari kekafiran".

Wednesday, November 11, 2009

Perlukah lagi melihat anak bulan?


ORANG Barat telah mengambil langkah yang drastik dengan memisahkan agama dengan kehidupan dunia yang dikenali sebagai fahaman sekular bagi memecahkan ‘halangan-halangan agama’ terhadap perkembangan sains.

Kalaulah tidak ada orang yang berani melakukan langkah yang drastik itu, sudah tentu dunia Barat masih berada dalam kegelapan dan tidak maju seperti yang kita lihat hari ini.

Apabila kata-kata pendita agama atau paderi dianggap oleh masyarakat mereka sebagai kata-kata dari Tuhan, maka bila ada penemuan ilmu sains yang bertentangan dengan fahaman agama mereka, akan dianggap sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Tuhan.

Fenomena seperti ini juga ada berlaku dalam masyarakat Islam kita, ramai diantara kita yang percaya semua kata-kata ulamak itu adalah kata-kata yang datang dari Tuhan.

Apakah betul apa yang dikatakan ulamak itu sama dengan apa yang dikatakan oleh Tuhan? Memang betul Tuhan ada berfirman melalui Quran, tetapi betulkah penafsiran Quran oleh ulamak itu betul-betul sama seperti yang dimaksudkan oleh Tuhan.

Tuhan sendiri pun telah memperakukan adanya ayat-ayat Quran yang ‘samar’ yang memerlukan manusia yang diberikannya akal itu untuk memikirkannya.

Islam tidak pernah menutup pintu untuk berhujah. Kebenaran itu akan semakin terserlah kebenarannya bila banyak dihujahkan. Hakim di makamah tidak akan dapat menentukan sesuatu kebenaran melainkan dengan hujah-hujah dari pihak-pihak yang diadili. Oleh itu kalau betul kita dipihak yang benar, tidak perlu takut dengan hujah.

Apa yang sering berlaku sepanjang sejarah manusia, kuasa digunakan untuk mengatasi hujah. Akhirnya kuasa menjadi penentu kepada kebenaran. Siapa yang berkuasa dialah yang berada di pihak yang benar. Tetapi keadaan ini bukanlah betul, ini telah melanggar fitrah kebenaran itu sendiri. Kebenaran mesti berasaskan ilmu dan hujah.

Tuhan yang menurunkan Nabi dan rasul untuk membawa kebenaran tidak pernah dilengkapakan senjata canggih dan segala kekuatan, senjata yang dianugerahkan kepada mereka hanyalah lidah dan hikmah yang digunakan untuk berhujah.

Kita mesti mengambil ajaran Islam bukan sekadar yang tersurat sahaja tetapi apa yang lebih penting ialah apa yang tersirat disebaliknya. Islam itu bukan fahaman yang beku yang memadai dengan tafsiran beberapa ulamak yang tertentu sahaja. Zaman telah jauh berubah, tafsiran terhadap Quran juga akan turut berubah mengikut peredaran zaman.

Mazhab-mazhab yang terkenal seperti Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali timbul sekitar 100 tahun selepas Nabi Muhammad wafat. Perubahan kehidupan masyarakat setelah 100 tahun berlalu telah memaksa ulamak-ulamak pengasas mazhab ini membuat penafsiran dan penilaian baru kepada hukum fiqah Islam.

Tetapi sekarang sudah hampir 1500 tahun Nabi wafat. Tentu tidak mustahil keperluan hukum-hukum ini dinilai semula mengikut keadaan zaman kita berada sekarang ini.

Apabila Nabi mengatakan, hendaklah kamu berbuka bila melihat anak bulan Syawal, maka berlakulah perselisihan faham antara para ulamak dalam menentukan tarikh hari Raya Idilfitri samada hendak menggunakan hisab atau rukyah.

Walaupun secara tersuratnya Nabi mengatakan ‘bila kamu melihat anak bulan Syawal’ tetapi apa yang dimaksudkan oleh baginda itu ialah adanya anak bulan Syawal. Di masa Nabi berkata itu, tidak ada cara lain bagi menentukan anak bulan melainkan dengan cara melihat.

Di zaman moden sekarang ini, dengan menggunakan kiraan kita boleh menentukan dengan tepat adanya anak bulan atau tidak. Kelemahan akal fikiran kita menelah maksud kata-kata Nabi itu telah membuatkan setengah kita memberikan tafsiran yang salah.

Adanya anak bulan Syawal itulah yang menentukan tarikh permulaan Syawal, bukanlah disebabkan kita dapat melihatnya. Tidak dapat dilihat tidak mestinya anak bulan itu tidak ada, banyak faktor lain yang boleh menghalang penglihatan kita.

Samalah seperti hendak menentukan waktu sembahyang maghrib atau atau waktu berbuka puasa. Waktu berbuka puasa bermula bila kelihatan terbenamnya matahari di ufuk barat. Apakah perlu kita keluar rumah untuk melihat matahari terbenam baru boleh kita makan dan minum? Syarat yang dikehendaki di sini ialah matahari terbenam bukan ‘melihat’ matahari terbenam.

Bayangkan betapa sukarnya bakal haji yang bermazhab Shafie mengerjakan tawaf mengelilingi Kaabah. Terpaksa berkali-kali mengambil wuduk kerana batal setiap kali bersentuhan dengan jemaah wanita. Ini gara-gara ayat Quran yang menyebut ‘bila kamu menyentuh isteri’.

Perkataan ‘menyentuh’ tidak semestinya hanya membawa maksud sentuh tetapi selalu digunakan sebagai bahasa sopan yang memberi makna bersetubuh.

Kalaupun perkataan ‘menyentuh’ betul-betul membawa makna bersentuhan kulit, ia masih juga tidak sama dengan makna ‘tersentuh’. Menyentuh dan tersentuh adalah dua perbuatan yang berbeza nilainya.

Ada seorang ahli ilmuwan agama muda yang memberi komen terhadap Ustaz Dr. Asri bekas Mufti Perlis dalam Mingguan Malaysia keluaran 8 Disember 2009 yang lalu. Antara hujah atau komen beliau mengatakan pandangan Ustaz Asri boleh menjejaskan Institusi Raja-raja Melayu sebagai institusi yang melindungi agama Islam di Negara ini.

Apa yang saya nampak ilmuwan agama muda ini tidak dapat memberi fikiran yang diluar kotak (out of box). Orangnya muda tapi cara pemikirannya tua. Bila masa pula terdapatnya dalam Quran atau Hadith yang kita ditegah dari menegur dan mengkritik Institusi Raja-raja Melayu walaupun hendak menegakkan kebenaran?

Sunday, November 08, 2009

Piala Malaysia: Betulkah Negeri Sembilan yang Juara

KALAU 20 tahun yang lalu mungkin tidak boleh dipertikaikan kalau juara pertandingan bola sepak Piala Malaysia malam tadi (7 November 2009) adalah milik Negeri Sembilan.

Dalam permainan malam tadi, sekali lagi saya melihat muka-muka pemain ternama seperti Khalid Jamlus, Indera Putra Mahayuddin dan Shukor Adan beraksi, kali ini mereka mewakili pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan. Sebelum ini kita pernah melihat mereka bermain untuk mewakili pasukan bola negeri-negeri lain.

Itulah persoalan yang hendak saya timbulkan dalam posting untuk blog saya kali ini. Apalah ertinya gelaran juara kepada Negeri Sembilan sedangkan pemain dan kakitangan yang terlibat dengan pasukan itu kebanyakannya mungkin bukan lahir dan dibesarkan di negeri itu sendiri.

Wan Jamak Wan Hassan jurulatih bagi pasukan Negeri Sembilan. Nama yang bermula dari awalan Wan bukanlah satu nama yang biasa ditemui di Negeri Sembilan. Sudah pasti beliau bukan orang Negeri Sembilan.

Walaupun orang-orang Negeri Sembilan begitu teruja dan gembira kerana Negeri Sembilan menjadi juara bola sepak Piala Malaysia setelah 61 tahun mendambakannya, tetapi bagaimana pula dengan perasaan pemain-pemain yang mewakili Negeri Sembilan itu sendiri, terutamanya pemain-pemain yang bukan lahir dan besar di negeri itu.

Kegembiraan kepada mereka itu bukan disebabkan Negeri Sembilan menjadi juara tetapi mereka gembira kerana pasukan yang mereka wakili itu menjadi juara, negeri mana yang mereka wakili bukanlah perkara yang begitu penting.

Dengan kata lain pemain-pemain seperti Khalid Jamlus, Indera Putra dan Shukor Adan ini adalah pemain bola profesional yang bermain untuk diri mereka sendiri, bukan untuk mana-mana negeri.

Kegembiraan orang-orang Negeri Sembilan malam tadi itu tak ubah seperti Pak Kaduk, mereka hanya menang sorak, pemenang yang sebenar ialah pemain-pemain yang bakal meraih berbagai habuan lumayan.

Walaupun saya sudah tinggal di Johor lebih 20 tahun malah melebihi masa saya dibesarkan di Negeri Sembilan, negeri di mana saya dilahirkan, tetapi hingga hari ini saya tidak pernah merasakan saya sebagai orang Johor.

Saya boleh terima diri saya sebagai orang Malaysia tetapi tidak sebagai orang Johor. Dalam hal ini ianya menyentuh soal hati dan perasaan kita, mungkin orang lain juga berperasaan seperti saya juga.

Begitu jugalah dengan pemain-pemain bola sepak tadi, mereka mungkin tidak pernah dilahirkan dan dibesarkan di negeri-negeri yang mereka wakili. Mereka hanya menggunakan kemudahan dan mendapat faedah dari kerajaan negeri yang mereka wakili.

Orang Cina dan orang India yang dilahirkan di Malaysia juga mempunyai perasaan seperti itu juga. Mereka lahir dan dibesarkan di Malaysia. Tentu mereka tidak boleh terima diri mereka sebagai orang Negara China atau orang Negara India. Mereka juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Negara Malaysia seperti kita orang Melayu yang dilahirkan dan dibesarkan di sini.

Kalau saya sendiri pun tidak boleh terima diri saya sebagai orang Johor, apa lagilah kalau untuk menerima diri saya sebagai orang Negara Indonesia, negara yang asing bagi saya walaupun serumpun.

Perasaan dan kecintaan kita terhadap tanah air, tanah darah tumpah kita ini adalah sama sahaja, tidak kiralah mereka itu Melayu, Cina atau India.

Yang selalu menimbulkan masalah kita sekarang ialah kerana ada tembok-tembok perkauman yang telah mengasingkan masyarakat kita mengikut kaum.

Tindak tanduk kita banyak menyumbang kearah melebarkan jurang polarisasi kaum, sebaliknya usaha untuk memecahkan tembok-tembok perkauman ini terus ditentang oleh kita sendiri.

Akhirnya kita banyak membuang masa dan tenaga untuk terus bersaing antara kaum, menumpukan survival kaum sendiri berbanding survival rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Dari kecil kita disekolahkan atau dididik untuk berasa curiga dengan kaum-kaum lain. Kaum-kaum lain yang sepatutnya menjadi kawan kita telah dilayan sebagai ‘musuh’ kita.

Sampai bilakah semua kita harus mengekalkan sikap seperti ini? Kita sebenarnya telah menyediakan satu bom jangka yang satu masa nanti akan meletup juga. Bila telah meletup, tidak ada siapa yang dapat faedah darinya, menang jadi arang kalah jadi abu.

Wednesday, November 04, 2009

Royalti minyak, hak rakyat Kelantan bukan hak UMNO

DENGAN pengumuman yang dibuat oleh PM Najib di Parlimen hari ini (4 November 2009) untuk memberi wang ehsan kepada ‘rakyat’ Kelantan mulai tahun depan membawa makna sebagai pengesahan oleh kerajaan BN bahawa adanya minyak telah digali di kawasan negeri Kelantan yang sebelum ini BN cuba berdolak-dalik untuk menafikan hak rakyat Kelantan ini.

Seperti Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang layak mendapat royalti hasil minyak bila terdapatnya minyak digali di kawasan negeri mereka, maka tidak ada sebab Kelantan dan Terengganu juga harus mendapat hak yang sama seperti yang dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Apalah ertinya slogan 1Malaysia kalau peraturan yang dikenakan adalah berbeza-beza atau wujudnya perlaksanaan undang-undang yang ‘double-standard’ mengikut kepentingan kerajaan UMNO.

Kenapa kepada Terengganu dan Kelantan, royalti hasil minyak ini bertukar menjadi sekadar wang ehsan sahaja?

Rakyat Terengganu dan Rakyat Kelantan telah memilih kerajaan mereka sendiri, tidak kiralah kerajaan yang mereka pilih itu adalah kerajaan UMNO atau kerajaan PAS, itu adalah pilihan mereka. Oleh itu royalti hasil minyak itu mestilah diberikan kepada kerajaan yang mereka pilih.

Memang tidak dinafikan Kerajaan Persekutuan juga mempunyai tanggungjawab kepada negeri-negeri yang berada dalam persekutuannya tetapi bukanlah dengan menggunakan wang ehsan ini dalam melaksanakan tanggungjawabnya.

Kalau royalti minyak yang layak mereka dapat adalah 5 peratus dari hasil minyak yang digali di negeri mereka, 5 peratus yang khusus itu harus dikembalikan kepada kerajaan negeri-negeri ini yang mewakili rakyat mereka. Manakala yang selebihnya 95 peratus lagi itu pula akan dibahagi-bahagi untuk faedah semua negeri-negeri secara adil dalam kerajaan Persekutuan.

Kita kena ingat, royalti minyak ini bukanlah hak UMNO sebagai pemerintah kerajaan persekutuan. Apa yang kita nampak royalti yang ditukar namanya sebagai wang ehsan oleh UMNO itu seperti wang hak UMNO yang digunakan untuk membuat projek atau pembangunan bagi kepentingan mereka di Kelantan dan Terengganu.

Rakyat bukanlah bodoh seperti 10 tahun dulu, apakah UMNO masih tidak sedar lagi akan hal ini?

Thursday, October 29, 2009

Satu Sekolah, Satu Parti Politik dan 1Malaysia


KALAU kita mahu melihat gagasan 1Malaysia boleh dicapai, ia mesti bermula dari Satu Sekolah, amalan Satu Sekolah mampu memecahkan tembok pengasingan mengikut kaum, seterusnya barulah 1Malaysia dapat terbentuk.

Tetapi apa yang berlaku sekarang PM Najib cuba hendak menyongsang arus, beliau memulakannya dengan 1Malaysia tanpa menyentuh sistem sekolah yang merupakan asas kepada pembinaan 1Malaysia.

Ini adalah satu kerja yang tidak masuk akal yang tentunya tidak akan sampai ke mana-mana. Akhir kesudahannya samalah seperti keadaan asal, slogan-slogan yang diucapkan hanyalah menjadi retorik, komestik dan penuh kepura-puraan.

Seperti biasa setiap kali perayaan besar akan dijemput semua orang dari semua kaum menghadiri rumah terbuka, selepas makan-makan dan gambar mereka diambil oleh media perdana, mereka pun baliklah ke rumah masing-masing. Di media perdana akan dicanangkan keutuhan perpaduan antara kaum, digambarkan mereka hidup harmoni dan boleh makan bersama-sama di rumah terbuka.

Kemudian sekali sekala diadakan aktiviti perkhemahan diperingkat sekolah, dijemputlah murid-murid yang terdiri dari sekolah Cina, sekolah Tamil dan sekolah Kebangsaan bagi menyertai program perkhemahan itu. Ditonjolkanlah bagaimana murid-murid dari berbagai kaum ini dapat bekerjasama dalam menjalankan aktiviti mereka dalam program itu. Bila selesai perkhemahan yang memakan masa dua tiga hari itu, mereka pun baliklah kesekolah masing-masing.

Apakah gambaran masyarakat Malaysia yang seperti ini yang kita hendak capai dalam 1Malaysia?

Hendak melentur buluh biarlah dari rebung. Setiap anak Malaysia sepatutnya tidak boleh diasingkan disekolah yang mengikut kaum masing-masing.

Hubungan kita adik beradik menjadi rapat dan kuat sebab kita dibesarkan di bawah bumbung yang sama. Tentu hubungan itu tidak akan menjadi rapat kalau adik beradik kita hidup secara terpisah.

Sebagai adik beradik kita bukan saja bermain, bergurau dan melakukan berbagai aktiviti bersama tetapi ada masanya kita juga bergaduh, tetapi itulah yang membina hubungan kita adik beradik menjadi kuat dan bukan hubungan yang berpura-pura.

Dari hubungan yang kuat inilah akan timbul rasa tanggungjawab dan perihatin antara kita adik beradik. Kita akan berasa bersalah kalau membiarkan adik-beradik kita yang lain ketika mereka menghadapi kesusahan dan masalah. Apabila ada hubungan yang kuat terjalin seperti ini, kita tidak akan rasa bimbang lagi terhadap adanya ahli keluarga kita yang tidak terbela nasibnya.

Apa yang berlaku sekarang pemimpin kaum Melayu hanya mahu menjadi juara untuk membela orang Melayu. Pemimpin Cina pula hendak menjadi juara untuk membela nasib kaum Cina, begitu jugalah dengan kaum India, mereka mahu jadi hero kepada kaum mereka.

Kita tidak boleh salahkan sikap mereka ini, ini kerana mereka memang mempunyai hubungan yang kuat dengan kaum mereka. Hubungan ini telah terbina dan terdidik sejak dari kecil lagi, bermula mereka sekolah bersama kaum mereka, selepas itu mereka bekerja dan tinggal dengan kaum dan kelompok mereka, menjadikan kaum mereka sangat dekat di hati mereka.

Dari sistem dan pengalaman yang kita lalui ini, tidak hairanlah kalau semua kita akan melihat setiap rakyat Malaysia itu mengikut kaumnya bukan sebagai bangsa Malaysia yang perlu kita bela tanpa mengira dari kaum mana dia datang.

Lantaran itu parti-parti politik di Negara ini lahir mengikut kehendak dan kepentingan kelompok dan kaum masing-masing. Keadaan struktur kehidupan masyarakat Malaysia yang demikian tidak memungkinkan dapat melahirkan satu parti politik yang memperjuangkan nasib rakyat Malaysia secara keseluruhan.

Apa yang kita nampak sekarang, parti politik BN mahupun PR masing-masing mempunyai parti-parti komponen yang mewakili kelompok dan kaum masing-masing.

Adalah satu kerja yang tidak masuk akal untuk menjernihkan air di muara sungai kalau di hulu sungai airnya sudah keruh. Bermakna, apa pun matlamat yang hendak kita capai perlu bermula dari peringkat kanak-kanak lagi.

Sunday, October 25, 2009

Parti mana yang menjadi parti tunjang PR?

Semua orang sedia maklum parti UMNO adalah parti tunjang kepada Barisan Nasional. Apakah yang menyebabkan parti UMNO menjadi parti tunjang atau tulang belakang kepada BN? Sudah tentu jumlah penguasaan UMNO dalam kawasan pilihanraya parlimen atau kawasan pilihanraya undangan negeri yang jauh lebih besar berbanding parti-parti komponennya yang lain itu telah melayakkan parti UMNO untuk menerajui BN.

Oleh itu sebagai parti tunjang dalam BN, UMNO banyak mencorakkan halatuju dan polisi BN dalam mentadbir Negara ini. Parti-parti komponen yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan, PPP, hanya boleh memberi pandangan, usul, teguran, kritikan atau menyuarakan kehendak parti-parti mereka tetapi keputusan akhirnya akan tertakluk kepada UMNO juga.

Ada permintaan parti-parti komponen ini dilayan dengan baik tetapi ada juga permintaan mereka yang tidak dapat dilayan bila permintaan itu bercanggah dengan kepentingan UMNO, orang Melayu dan agama Islam.

Sering juga berlaku desakan dan kritikan dari parti-parti komponen ini disalurkan kepada media apabila ada kesukaran untuk dibincangkan secara rundingan terutamanya dalam menyentuh isu-isu yang sensitif.

Selalunya parti-parti komponen dalam BN akan akur kepada kehendak UMNO tanpa banyak menimbulkan masalah. Sebagai balasan UMNO akan sentiasa memberi sokongan yang kuat kepada parti-parti komponen ini pada setiap kali mereka menyertai pilihanraya, dan UMNO pula tidak lokek untuk memberi laluan kepada sesetengah parti komponenya yang lain walaupun parti UMNO layak untuk bertanding di kawasan itu.

Konsep perkongsian kuasa dalam BN yang selalu dibanggakan oleh UMNO itu bukanlah seindah sebutannya. Secara amalannya parti UMNO terus menjadi penentu hitam putih utama dalam BN.

Memang kerap berlaku 'tarik tali' kuasa antara parti-parti komponen dalam BN tetapi akhirnya mereka terpaksa akur untuk memberi kelebihan kepada UMNO.

Tentu keadaan akan menjadi sukar kalau dalam BN tidak ada parti peneraju seperti UMNO, kerana semua parti komponen dalam BN adalah memperjuangkan agenda kelompok dan kaum masing-masing yang berbeza impian dan aspirasi. Mustahil impian mereka dapat disatukan.

Malah tidak keterlaluan kalau dikatakan 1Malaysia yang diutarakan oleh PM Najib itu hanyalah merupakan 1Malaysia versi UMNO.

Pakatan Rakyat

Parti manakah yang menjadi parti tunjang dalam Pakatan Rakyat pula? Inilah masalah utama dalam Pakatan Rakyat, tidak ada parti yang boleh dilihat sebagai parti yang boleh menjadi parti peneraju dalam pakatan Rakyat.

Yang kita nampak dalam PR hanya ada parti yang menjadi ‘orang tengah’ iaitu parti PKR. PKR selalu menjadi orang tengah kepada hubungan antara dua parti yang ekstrim iaitu PAS dan DAP. PAS dilihat sebagai sebuah parti yang ekstrim kepada agama manakala DAP pula dilihat ekstrim kepada satu kaum.

Melainkan kalau PKR dapat mengambil peranan sebagai parti peneraju dalam PR barulah PR boleh menjadi entiti politik yang kuat dan disegani.

Kalau di Amerika Syarikat mahupun di United Kingdom, mereka tidak ada parti-parti komponen dalam parti politik utama mereka. Sepatutnya Negara kita juga harus menuju kearah yang sama.

Sebagai contoh, di Amerika Syarikat ada dua parti politik utama yang bersaing iaitu Democrat dan Republican. Tidak ada parti komponen di bawah Democrat mahupun Republican. Kalau di UK, juga ada dua parti politik yang bersaing iaitu Conservative dan Labour.

Langkah pergabungan parti Keadilan dan parti Sosialis Rakyat Malaysia yang membentuk parti PKR satu masa dulu adalah satu langkah yang amat baik dan harus dipuji dalam menuju pembentukan satu parti politik utama dalam Negara.

Apabila Negara kita wujud dua parti politik utama dalam persaingan, barulah 1Malaysia yang benar-benar menepati aspirasi rakyat Malaysia dapat direalisasikan.

Thursday, October 22, 2009

Hapuskan Sekolah Pelbagai Aliran, PROF KHOO KAY KIM

BUKIT MERTAJAM: Sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan sistem sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai, kata tokoh sejarah dan akademik Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim.

Beliau berkata, sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Katanya, sejak dari kecil lagi rakyat sudah diasingkan mengikut aliran dan bahasa ibunda masing-masing dan apabila dewasa, semangat kerjasama dan persefahaman sukar untuk dijalinkan.

"Kita tidak perlu kepada sekolah yang banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program wacana "One Malaysia: Cabaran dan Harapan" sempena program semarak perpaduan dan patriotisme Institut Pendidikan Guru Malaysia peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Namun begitu, beliau menjangkakan ada pihak yang akan membantah cadangan itu tetapi mereka yang berbuat demikian perlu menilai semula sejauh mana sistem pendidikan ketika ini boleh membantu mengukuhkan pembentukan sebuah negara bangsa. Mengimbau kembali sejarah terbentuknya sekolah pelbagai aliran di negara ini, Prof Khoo Kay Kim berkata, mengikut sejarah, British membenarkan penubuhan sekolah pelbagai bahasa di Tanah Melayu kerana kebanyakan pendatang ketika itu tidak mempunyai niat untuk menetap di negara ini.

"Jadi, British membenarkan mereka membuka sekolah menggunakan bahasa ibunda masing-masing supaya mereka dapat belajar mengenai negara sendiri. "Bagaimanapun, sistem ini tidak lagi perlu diteruskan sekarang kerana mereka sudah menjadi warga negara Malaysia dan perlu dididik supaya menerima negara ini dan masyarakat berbilang kaum yang ada di sini sebagai sebahagian daripada diri mereka," katanya lagi.

Khoo juga berkata, kebanyakan rakyat negara ini tidak tahu dan tidak memahami sejarah negara sehingga menyebabkan mereka berfikiran secara sempit.

Menurutnya, ada segelintir ahli politik yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan agenda masing-masing berbanding matlamat utama negara bangsa.

"Ada ahli politik kita yang tidak mahu berintegrasi dan lebih suka kepada pemisahan, dan lihatlah bagaimana negara menjadi kucar-kacir kerana adanya ahli politik yang tidak mengutamakan negara bangsa tetapi lebih kepada agenda sendiri," katanya.

Sunday, October 18, 2009

Bagan Pinang, Kekalahan PAS sudah diduga

KEDEGILAN PAS untuk terus meletakkan calonnya untuk bertanding di PRK Bagan Pinang membawa padah kepada parti itu dengan mengalami kekalahan teruk.

Kekalahan ini boleh dilihat sebagai petanda pengundi di Bagan Pinang khususnya dan di Negeri Sembilan amnya tidak dapat menerima parti PAS.

Kalau tidak menang pun, tentunya kekalahan ini tidaklah teruk sangat kalau PAS dari awal mengambil langkah memberi laluan kepada calon dari parti PKR bagi mewakili Pakatan Rakyat untuk menjadi calon di sana.

Negeri Sembilan, Melaka dan Johor memang terkenal sebagai kubu UMNO yang kuat. Kebanyakan orang Melayu di negeri-negeri ini memang tidak boleh terima parti PAS langsung.

Malah pernah berlaku di mana ahli PAS yang cuba membawa masuk pengaruh PAS di sesetengah kampung di Johor pernah dihalau dan ditolak mentah-mentah oleh orang kampung.

Kalau di Kelantan keadaan seperti itu tidak akan berlaku, mereka begitu faham bahawa UMNO dan PAS adalah parti-parti politik dalam negara demokrasi, siapa pun boleh menyokong mana-mana parti yang mereka suka.

Kalau orang Melayu di Johor sendiri pun susah hendak menerima PAS, apa lagilah dengan orang-orang bukan Melayu di sana.

Janganlah sebab berjaya menubuhkan cawangan di sesuatu kawasan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dengan beberapa ratus ahli sudah mendabik dada mereka layak meletakkan calon mereka bagi mewakili Pakatan Rakyat. Yang akan mengundi bukan ahli-ahli parti sahaja tetapi adalah semua penduduk yang layak mengundi di kawasan itu yang jumlahnya jauh lebih besar dari bilangan ahli-ahli yang ada di situ.

Oleh itu PAS jangan jadi parti terlebih perasan. PAS mesti bersikap berpijak di bumi nyata, tidak hanya mementingkan diri sendiri sahaja. Apalah guna meletakkan calun-calun PAS di negeri-negeri tersebut tetapi akan menyumbang semua kekalahan kepada PR.

Kita kena lihat juga sentimen masyarakat setempat dalam meletakkan calon untuk parti kita bertanding. Kalau negeri itu tidak boleh terima parti PAS maka berilah laluan kepada parti komponen yang lain seperti PKR.

Meletakkan calon dari PKR mewakili PR di negeri-negeri yang dikenali sebagai kubu kuat UMNO iaitu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor bukanlah bermakna ada jaminan PR boleh menang, tetapi sekurang-kurangnya ia lebih realistik dan tidaklah PR dimalukan dengan kalah begitu teruk sekali.

Adalah wajar jika sesuatu parti itu tidak dapat mengekalkan prestasinya seperti yang berlaku di PRK di Bagan Pinang baru-baru ini, memberi laluan dan peluang kepada parti komponen yang lain untuk bertanding pula.

Monday, October 12, 2009

Pemandu teksi dan maruah negara


KERANA keinginan untuk mendapatkan keuntungan dan pendapatan yang lebih, masih ramai pemandu teksi yang masih berdegil tidak mahu menggunakan meter.

Walaupun baru-baru ini kadar tambang teksi telah dinaikkan dan tindakan undang-undang yang tegas akan diambil terhadap pemandu teksi yang tidak menggunakan meter namun langkah ini tidak juga dapat membenteras pemandu teksi dari terus melakukan kesalahan.

Kenapa ini harus berlaku? Adakah kerana pemandu teksi tidak dapat pendapatan yang cukup kalau menggunakan meter? Atau adakah kerana sikap buruk, sikap tamak dan sikap mereka yang tidak beretika?

Pada 10 Oktober 2009 yang lalu saya telah menaiki teksi dari Setesen Bas Pekeliling ke Jalan Semarak. Pemandu teksi tersebut tidak menggunakan meter dan saya tidak ada pilihan lain ketika itu. Dalam perbualan antara saya dengan pemandu teksi semasa dalam perjalanan itu, saya dapat tahu dia adalah seorang bekas tentera.

Sudah tentu dia seorang yang berdisiplin kerana pernah menjadi tentera, tetapi nampaknya beliau tidak dapat mengikut undang-undang seperti yang telah ditetapkan. Kalau pemandu teksi dari bekas tentera pun tidak mahu menggunakan meter, bagaimanalah pula dengan pemandu-pemandu teksi yang lain.

Teksi dan pemandunya adalah antara barisan depan Negara yang mula-mula dilihat oleh orang luar bila datang ke Negara kita. Mereka boleh menilai sikap rakyat Malaysia keseluruhannya dengan hanya melihat kepada sikap yang ditunjukkan oleh pemandu teksi kita.

Saya percaya sikap yang terdapat pada pemandu-pemandu teksi Negara kita itu sebenarnya adalah mencerminkan sikap masyarakat kita keseluruhannya. Sebagai mana pernah dinyatakan oleh Ketua Polis Musa Hassan, kalau masyarakat berperangai buruk maka polis pun berperangai buruk juga kerana polis juga datang dari masyarakat yang sama.

Oleh itu sampai bila pun kita tidak akan dapat menyelesaikan masalah kedegilan pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter ini, selagi sikap masyarakat kita tidak berubah.

Bagi masyarakat umum, teksi merupakan pengangkutan awam yang mewah. Orang awam selalunya akan memilih pengangkutan awam yang lebih murah seperti bas dan keretapi, mereka hanya menggunakan teksi jika terdesak atau tidak ada pilihan lain. Hanya pelancung, orang yang kaya dan berada saja yang selalu menggunakan khidmat teksi.

Bagi saya tidak ada masalah kalau kadar tambang teksi dinaikkan mengikut kehendak pemandu dan syarikat teksi tanpa ada sekatan dari kerajaan. Saya tidak fikir tambang teksi yang tinggi akan membebankan rakyat kerana kebanyakan rakyat awam lebih suka menggunakan pengangkutan awam yang lain yang lebih murah.

Dengan cara ini kita juga dapat menggalakkan orang ramai menggunakan bas dan keretapi. Dalam masa yang sama juga dapat mengurangkan kesesakan jalanraya dengan teksi.

Biarkanlah teksi menjadi pengangkutan kepada pelancung dan segelintir orang yang mempunyai duit lebih atau kaya, dan tentunya mereka tidak akan merungut dengan tambang teksi yang mahal.

Wednesday, October 07, 2009

Anda boleh download gambar kereta anda yang disaman ekor

DENGAN adanya kemudahan internet di masa ini kita dengan mudah dapat menyemak samada kereta atau motorsikal kita pernah kena saman oleh JPJ atau polis trafik. Kita hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan kedalam laman web yang disediakan.

Kadang-kadang kita tidak sedar kereta atau motor kita telah kena saman atas kesalahan melebihi had laju kerana tidak nampak adanya ‘road block’ semasa kena saman, sebaliknya apa yang berlaku, gambar kita memandu diambil secara sembunyi. Kaedah merakam gambar pesalah lalulintas secara sembunyi ini dikenali sebagai saman ekor.

Kadang-kadang rasa macam tak percaya bila disemak dalam internet di sini, didapati kita memiliki hingga empat atau lebih saman atas kesalahan memandu lebih had laju.

Tidak mungkin pihak polis hendak menginaya kita dengan mereka-reka kesalahan itu. Tidak ada sebab untuk mereka berbuat demikian.

Bagaimanapun mungkin ada juga di kalangan kita masih berasa sangsi, betulkah kereta yang terlibat dengan kesalahan adalah kereta kepunyaan kita. Ada kemungkinan juga pesalah sebenar telah menggunakan nombor pendaftaran palsu yang sama seperti nombor kereta atau motor kita.

Buat masa ini memang ada gambar kenderaan yang terlibat disimpan dalam rekod polis dan kalau kita ingin mendapatkannya kita akan dikenakan sedikit bayaran.

Adalah lebih baik kalau di masa depan pihak polis dapat meletakkan (upload) gambar-gambar kereta yang terlibat ke dalam internet di mana pesalah boleh melihat sendiri dan download gambar tersebut. Dengan itu pengguna bukan saja dapat menyemak jumlah saman, jenis kesalahan dan tempat kesalahan berlaku tetapi dapat juga melihat gambar bagi setiap kesalahan itu.

Dengan cara ini juga dapat mengelakkan atau membenteras pesalah-pesalah yang menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang palsu.

Sunday, October 04, 2009

Mengundi PAS seolah-olah sama seperti masuk Islam


OLEH kerana parti PAS adalah parti yang berlabelkan Islam, maka bagi setengah orang-orang bukan Islam beranggapan mengundi parti PAS samalah seperti menyokong Islam atau percaya kepada Islam.

Kesukaran untuk menyeru orang-orang bukan Islam ini untuk mengundi parti PAS samalah seperti sukarnya untuk mengajak mereka memeluk agama Islam. Dalam hal ini ia bukan saja setakat melibatkan tukar parti tetapi juga seolah-olah seperti melibatkan penukaran akidah.

Tentulah tidak sukar untuk mengajak orang masuk atau menyokong satu-satu parti politik, tetapi untuk mengajak mereka masuk satu-satu agama memang suatu kerja yang amat sukar kerana ianya melibatkan soal akidah. Kalau parti politik sudah dibuatkan seperti agama memang sukarlah kita hendak mengajak orang yang berlainan fahaman agama untuk masuk parti tersebut.

Mungkin kita orang Islam tidak ada masalah untuk mengundi parti DAP yang merupakan salah satu sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana parti DAP bukanlah parti yang berasaskan agama, tetapi bagaimana kalau ada parti yang bernama Parti Budha Se Malaysia dalam Pakatan Rakyat itu, tentu kita yang beragama Islam berfikir dua kali juga untuk mengundi calon dari parti tersebut kerana bimbang ianya akan membabitkan soal akidah kita.

Pihak Barat telah lama berkempen memburukan agama Islam dan pengikut-pengikutnya. Media Barat telah melabelkan Islam dengan berbagai label yang negatif, agama yang mereka kaitkan dengan kemunduran dan keganasan.

Kempen berterusan mereka ini sungguh berkesan sehingga semua orang bukan Islam di dunia ini begitu takut atau fobia dengan Islam atau apa saja yang dikaitkan dengan Islam.

Hari-hari Barat menonjolkan imej buruk terhadap Islam. Orang Islam yang mengganas dilabelkan sebagai pengganas Islam tetapi orang kulit putih yang mengganas tidak pula digelar pengganas Kristian.

Barisan Nasional tidak perlu mengeluarkan wang berjuta ringgit untuk menakutkan kaum Cina dan India supaya tidak mengundi PAS kerana kempen pihak Barat yang berterusan memburukan imej Islam sudah cukup untuk menakutkan mereka.

Adalah kurang bjak kalau PR meletakkan calon dari parti PAS di kawasan yang melebihi 20% pengundi orang bukan Islam seperti di PRK Bagan Pinang.

Sunday, September 27, 2009

Tun Mahathir yang telah insaf


TEGURAN Tun Mahathir kepada Samy Velu yang cuba mahu terus mengekalkan cengkamannya ke atas parti MIC tanpa menghiraukan suara akar umbi adalah berpandukan kepada pengalaman beliau sendiri.

Tun Mahathir pernah disifatkan sebagai pemimpin yang liat untuk turun dari memimpin parti UMNO, yang dianggap oleh sesetengah pihak ibarat pelepah pisang yang perlu disentap untuk jatuh.

Setelah diasak oleh beberapa siri demonstrasi jalanan barulah Tun Mahathir mula mahu memikirkan untuk melepaskan jawatannya sebagai PM Malaysia setelah lebih 20 tahun berkuasa.

Kini setelah bersara Tun Mahathir begitu lantang menasihati parti UMNO supaya menjadi sebuah parti yang mempunyai pemimpin-pemimpin yang bersih, bebas dari rasuah dan salah laku.

Padahal di era pemerintahannya, beliau tidak pernah pun mengambil berat tentang perkara-perkara tersebut. Malah dikatakan politik wang adalah bermula dan berluas-luasa semasa beliau memimpin parti UMNO lagi.

Dapat kita perhatikan, boleh dikatakan hampir semua menteri kabinet yang dilantik oleh Mahathir adalah di kalangan yang mempunyai rekod salah laku. Dari salah laku yang melibatkan skandal sex hinggalah kepada pembolotan AP dan tender projek untuk keluarga, malah ada yang terlibat dengan kes bunuh.

Dengan makamah dan polis berada di bawah penguasaannya membolehkan beliau mengawal dan menentukan samada seseorang itu boleh didakwa atau tidak.

Salah laku yang sedia terpalit pada menteri-menteri kabinetnya itu, ibarat pistol yang diacukan di kepala mereka, yang menyebabkan mereka semua sentiasa patuh kepada arahan Mahathir tanpa berani menyanggah.

Untuk jangka pendek memang ia menguntungkan Mahathir. Semua keinginannya dan cita-citanya akan dapat dilaksanakan dengan licin tanpa apa-apa bantahan. Tetapi untuk jangka panjang ia memberi imej buruk kepada parti UMNO.

Akhirnya rakyat melihat pemimpin-pemimpin UMNO dipenuhi dengan berbagai skandal dan salah laku, dan tidak pernah dibongkar atau diambil apa-apa tindakan terhadap mereka. Kesalahan mereka hanya dibongkar dan diambil tindakan bila cuba menentang presiden UMNO.

Semua menteri-menteri kabinet Mahathir seperti bergantung nyawa kepada beliau. Rafidah Aziz seperti kena histeria bila Tun Mahathir mengumumkan untuk melepaskan jawatan PM Malaysia dalam satu perhimpunan UMNO.

Selepas itu Rafidah Aziz jugalah antara pemimpin UMNO yang pertama menghentam Tun Mahathir sejurus beliau turun dari PM.

Nampaknya sekarang Tun Mahathir telah insaf, beliau telah melakukan banyak kerosakan kepada parti UMNO dan kini beliau berasa bertanggungjawab untuk membawa semula UMNO keatas landasan yang betul.

Kebobrokan parti UMNO selama ini telah menjauhkan orang-orang yang berakhlak mulia dan baik dari menyertai UMNO. Hingga menyebabkan UMNO sukar untuk mencari calon yang sesuai untuk bertanding di PRK Bagan Pinang. Susahnya sama seperti mencari rambut hitam pada kepala orang tua yang beruban.

Perlu diingat, dalam amalan sistem demokrasi kita tidak ada ruang untuk mengekalkan kejahatan untuk selamanya.

Saturday, September 26, 2009

Rekacipta teknologi mengambil aspirasi dari penciptaan alam

SESIAPA pun tidak boleh menafikan keinginan untuk mencipta kapal terbang oleh manusia timbul setelah melihat kemampuan burung terbang di udara.

Penciptaan burung yang boleh terbang oleh Tuhan itu telah mendorong manusia untuk mencipta mesin yang boleh membuatkan mereka terbang di udara.

Sebenarnya banyak lagi hasil penciptaan teknologi yang kita lihat hari ini mengambil aspirasi dari kejadian dan penciptaan yang dilakukan oleh Tuhan di alam ini termasuklah pada penciptaan diri manusia itu sendiri.

Manusia dijadikan Tuhan begitu sempurna sekali. Manusia dilahirkan dengan memiliki penglihatan, pendengaran dan anggota yang lengkap. Kita dapat melihat dan mendengar dengan jelas tanpa perlu memakai cermin mata atau alat mendengar semasa dilahirkan.

Jantung kita dengan sistem edaran darahnya pula telah siap terpasang sempurna dan berjalan dengan baik, tanpa campurtangan kita sendiri.

Seperti kereta yang memerlukan petrol untuk bergerak, badan kita pula memerlukan makanan untuk mendapatkan tenaga bagi menjalankan aktiviti kehidupan. Kejadian perut kita begitu canggih sekali sehingga dapat menukarkan makanan kepada tenaga yang diperlukan oleh tubuh badan kita.

Siapakah yang meletakkan kanta boleh lentur dalam biji mata kita hingga membolehkan kita melihat objek jauh dan objek dekat dengan selesa? Dengannya juga manusia dapat aspirasi untuk mencipta cermin mata dan kanta lekap bagi membantu penglihatan yang telah rabun.

Terdapat sekitar 112 unsur atau elemen yang menjadikan bahan-bahan di alam ini. Unsur-unsur ini termasuklah hydrogen, oksigen, karbon, silicon, nitrogen, besi, aluminium, perak, tembaga, emas dan lain-lain lagi.

Semua unsur-unsur tersebut dibina dari atom-atom sebagai unit asasnya. Manakala atom pula dibina dari zarah-zarah yang dikenali sebagai electron, proton dan neutron. Sebagai contoh, atom oksigen dibina dari 8 elektron, 8 proton dan 8 neutron, atom silicon dibina dari 14 elektron, 14 proton dan 14 neutron, dan atom emas pula dibina dari 79 elektron, 79 proton dan 79 neutron.

Walaupun dimata kita kelihatan emas lebih cantik dan bernilai berbanding silicon (unsur yang terdapat pada pasir) tetapi sebenarnya kedua-duanya adalah dibina dari benda atau zarah yang sama iaitu electron, proton dan neutron.

Perbezaan bilangan zarah electron, proton dan neutron yang membina atom emas dan silicon itu telah menyebabkan kedua-dua bahan tersebut menampakkan sifat-sifat yang berlainan.

Mungkin sebab itu juga agaknya dalam ibadah kita diatur dengan nombor-nombor yang tentu ada hikmah disebaliknya. Sebagai contoh, jumlah rakaat sembahyang maghrib adalah 3, manakala subuh 2 rakaat, dan Zuhur, Asar dan Isyak pula 4 rakaat. Begitu juga bilangan zikir tertentu yang harus dibaca sebanyak 33 kali, atau 100 kali, atau 7 kali.

Begitu juga dengan bilangan untuk membaca ayat-ayat doa atau salawat semasa menawarkan air untuk dijadikan ubat. Nombor bilangan itu juga mungkin dapat memberi kemujaraban air ubat tersebut.

Manusia juga mengambil aspirasi dari kejadian atom-atom ini untuk menciptakan sistem operasi computer. Computer hanya mengenal dua huruf atau dua nombor sahaja iaitu nombor 0 dan nombor 1.

Seperti dinyatakan di atas, semua atom termasuklah atom emas dan atom silicon dibina dari bahan atau zarah yang sama iaitu electron, proton dan neutron, tetapi mereka dibezakan oleh bilangan electron, proton dan neutron yang membinanya.

Semua arahan yang kita berikan kepada computer akan ditukar kepada nombor 0 dan nombor 1 kerana computer hanya boleh faham dua nombor ini sahaja.

Sebagai contoh, apabila kita menekan nombor 3 dipapan kekunci (key board) computer kita, nombor itu akan ditukar kepada 0110011, dan kalau kita tekan nombor 8, nombor 8 ini akan ditukar kepada 0111000.

Walaupun 0110011 dan 0111000 hanya mengandungi nombor 0 dan 1 sahaja, tetapi oleh kerana ia disusun secara berbeza maka computer dapat mengenal nombor-nombor tersebut sebagai nombor 3 dan nombor 8.

Itulah contoh di mana kejadian atom yang membina bahan-bahan di alam ini telah diadaptasi ke dalam sistem teknologi computer.

Teknologi Fuzzy Logic yang banyak digunakan dalam alat kawalan untuk camera, mesin basuh dan lampu trafik juga adalah diambil dari cara manusia membuat keputusan tentang sesuatu perkara.

Kepada manusia tidak memberi apa-apa makna kalau diberitahu kelajuan internet ialah 54 MBps atau 2 MBps atau 1 KBps, sebaliknya kita lebih faham jika disebut sangat laju, tidak berapa laju atau slow sangat. Begitulah konsep Fuzzy Logic bekerja, ia lebih dekat dengan cara manusia menilai sesuatu keadaan.

Selain dari itu sudah ada teknologi yang mengmbil konsep cara otak manusia bekerja iaitu dipanggil Artificial Neural Network (ANN). Otak manusia mempunyai berjuta-juta sel neuron yang bersambung diantara satu sama lain yang membolehkannya mempelajari sesuatu. Inilah kelebihan teknologi ANN ini kerana ia mampu belajar seperti otak manusia.

Tidak ketinggalan juga penurunan sifat-sifat baik melalui ginatek atau kromosom ibubapa juga diadaptasi dalam teknologi yang dipanggil GA (Genetic Algorithm).

Malah keajaiban kelompok burung-burung yang terbang di udara yang boleh terbang ke arah yang sama tanpa berlaku pelanggaran dan salah faham antara satu sama lain turut juga menjadi aspirasi kepada saintis untuk diadaptasi dalam konsep penciptaan teknologi yang dikenali sebagai Particle Swarm Optimization (PSO).

Sejarah manusia mengambil pelajaran dari alam ini mungkin bermula seawal kisah Qabil menyempurnakan mayat saudaranya Habil lagi. Sehingga sekarang manusia terus mengambil manafaat dari kejadian dan penciptaan alam ini. Seperti firman Tuhan dalam Quran, sesungguhnya Tuhan itu tidak menciptakan sesuatu melainkan ada gunanya.

Wednesday, September 23, 2009

Litar yang membina computer bukanlah serumit yang kita bayangkan

SEPERTI yang kita sedia maklum computer boleh melakukan berbagai kerja yang canggih tetapi sebenarnya litar yang membinanya tidaklah serumit yang kita selalu bayangkan.

Mungkin ramai yang tidak percaya bila diberitahu litar yang membina computer adalah sangat mudah dan ringkas.

Walaupun computer boleh melakukan bermacam fungsi seperti menambah nombor-nombor, membuat kiraan tolak, membahagi dan mendarab nombor, namun sebenarnya dalam computer hanya ada satu litar sahaja bagi melakukan semua kerja ini. Litar ini pun hanya membolehkannya membuat kiraan tambah sahaja, atau lebih tepat lagi menambah dua nombor.

Dengan litar penambah dua nombor itulah computer melakukan kerja untuk menjumlahkan nombor-nombor yang kita arahkan atau untuk membuat kiraan tolak atau membahagi atau mendarab nombor dan sebagainya.

Tentu kita tertanya-tanya bagaimana computer boleh melakukan berbagai kerja hanya menggunakan litar penambah dua nombor sahaja. Saya akan cuba jelaskannya seperti berikut:

Katakan kita hendak menjumlahkan nombor-nombor 12, 8, 10, 5 dan 7. Komputer tidak mempunyai litar yang mampu untuk menambah kelima-lima nombor itu secara serentak kerana ia hanya mempunyai litar yang boleh menambah dua nombor sahaja.

Apa yang computer akan lakukan ialah ia akan menambah nombor 12 dengan 8 terlebih dahulu, hasil tambahnya ialah 20. Nombor 20 ini akan disimpan dalam litar ingatannya yang dipanggil daftar. Kemudian dengan menggunakan litar tambah yang sama, nombor 10 mengambil giliran untuk ditambah dengan nombor 20 yang berada di dalam daftar.

Sekarang hasil tambahnya bernilai 30. Sekali lagi nombor 30 akan disimpan di dalam daftar. Seterusnya nombor yang ada dalam daftar ini akan ditambah dengan nombor berikutnya iaitu nombor 5, menjadikan hasil jumlah yang berada dalam daftar sekarang ialah 35. Akhir sekali nombor 35 akan ditambah dengan nombor yang terakhir iaitu 7. Dengan itu selesailah kerja menambah kesemua kelima-lima tersebut dengan jumlah kesemuanya adalah 42.

Ya memang lambat kalau kita menggunakan kaedah computer untuk menambah nombor-nombor yang banyak kerana terpaksa menambah dua nombor dalam satu masa. Kita terpaksa melalui lebih banyak langkah kerja yang berulang-ulang sebelum mendapat hasil jawapannya. Sebaliknya tentunya lebih cepat kalau kelima-lima nombor tersebut ditambah secara serentak seperti yang biasa kita lakukan.

Tetapi kita kena ingat, computer melakukan kerja sangat pantas. Sebagai contoh, computer yang mempunyai spesifikasi 1.6 GHz bermakna dalam satu saat ia mampu melakukan 1,600,000,000 langkah kerja. Oleh itu tidak hairanlah kalau dalam masa kurang dari satu saat computer sudah dapat memberi jawapan hasil tambah tersebut.

Berapa lama sangatlah masa yang diambil untuk mengira kelima-lima nombor dalam contoh di atas, yang mungkin paling banyak pun tidak sampai 20 langkah kerja diperlukan untuk menyelesaikannya, sedangkan computer mampu melakukan lebih 1000 juta langkah kerja dalam masa satu saat.

Bagaimana pula computer boleh melakukan kiraan tolak dengan menggunakan litar tambah?

Oleh kerana computer tidak ada litar penolak maka kerja kiraan tolak juga mesti menggunakan litar penambah yang sedia ada itu juga.

Apabila kita menolak nombor 8 dengan nombor 2, sebenarnya kita menambah nombor positif 8 dengan nombor negatif 2. Nombor negatif 2 akan ditukar terlebih dahulu kepada nombor positif yang setara sebelum ditambah dengan nombor 8.

Dalam sistem nombor, setiap nombor negatif ada nombor positifnya yang setara. Ini samalah seperti kita menilai kandungan air dalam satu gelas. Secara positif kita boleh kata suku dari gelas itu dipenuhi air, tetapi kita boleh juga menyebutnya dengan cara negatif, iaitu kita boleh kata tiga suku dari gelas itu adalah kosong. Walaupun cara sebutan berbeza tetapi ia menerangkan maksud yang sama.

Samada kita menyebut, suku gelas dipenuhi air atau tiga suku gelas tidak mengandungi air, dua-dua sebutan itu pasti akan dapat difahami oleh semua orang tentang jumlah kandungan air dalam gelas itu.

Sama seperti kes air di dalam gelas tadi, setiap nombor negatif itu ada nombor positifnya yang setara. Oleh itu computer melalui litar penambahnya akan menggunakan nombor setara positif itu untuk melakukan kiraan tolak.

Bagaimana pula untuk mendarab?

Apabila kita mendarab nombor 3 dengan nombor 6, oleh kerana kita telah diajar dari kecil menghafal sifir maka secara sepontan kita akan tahu jawapannya adalah 18. Tetapi sebenarnya kita juga boleh melakukannya dengan menambah nombor 3 sebanyak 6 kali.

Oleh itu 3 darab 6 adalah sama dengan 3+3+3+3+3+3. Dengan litar penambah yang ada sudah tentu computer akan dapat melakukan kiraan darab ini dengan menggunakan kiraan tambah.

Litar penambah computer akan menambah nombor 3 dengan nombor 3 sebanyak 6 kali dan hasil jawapannya juga adalah 18. Walaupun kaedah ini agak lambat dan leceh bagi kita manusia untuk melakukannya tetapi computer dapat melakukannya dengan begitu pantas.

Bagaimana computer melakukan kerja membahagi?

Apabila nombor 18 hendak dibahagi dengan nombor 3, kita boleh melakukannya dengan kiraan tolak. Nombor 18 ditolak dengan nombor 3 dan diulang semula sehingga hasilnya tinggal kosong. Berapa banyak bilangan nombor 3 diperlukan untuk sampai kepada hasil kosong ini maka itulah jawapannya.

Kalau nombor 18 dibahagi dengan 3, mula-mula 18 ditolak dengan 3 menghasikan 15, kemudian nombor 15 ditolak lagi dengan 3 menghasilkan 12. Selepas itu nombor 12 tadi ditolak dengan 3 menghasilkan 9, kemudian ditolak lagi dengan 3 menghasilkan 6. Nombor 6 tadi ditolak lagi dengan 3 menghasikan 3. Nombor 3 ini ditolak lagi dengan 3 menghasilkan kosong.

Dalam contoh ini kita kena menolak 6 kali dengan nombor 3 untuk menjadikan hasilnya tinggal kosong. Jadi jawapannya adalah 6.

Dari pengetahuan yang anda dapat dari kerja kiraan tolak di atas, tentu anda telah dapat meneka macamana computer akan melakukan kerja kiraan tolak yang terdapat dalam kerja membahagi ini.

Wednesday, September 16, 2009

Senjata ampuh UMNO di Bagan Pinang, papar PAS parti ekstrimis


DENGAN hampir 40% pengundi di Bagan Pinang adalah terdiri dari bukan Melayu, adalah amat sukar untuk PAS menang dalam PRK Bagan Pinang nanti.

Bertambah sukar lagi kerana di sana terdapat 4600 pengundi pos yang kebiasaannya trend undi pos akan berpihak kepada UMNO. Sudah tentu majoriti pengundi pos ini adalah juga orang Melayu. Oleh itu berapa peratus sajalah lagi orang Melayu yang tinggal yang akan mengundi PAS setelah ditolak pengundi pos ini.

Oleh itu di Bagan Pinang, PAS sangat bergantung kuat kepada undi dari orang bukan Melayu bagi memenangkan calon mereka.

Di PRK Manek Urai terdapat lebih 95% pengundi Melayu Islam, namun PAS masih terkial-kial untuk menang, apatah lagi kalau di Bagan Pinang ini yang jumlah orang bukan Melayu hampir 40% dari bilangan pengundi.

Nampaknya UMNO berada dalam keadaan yang begitu selesa sekali, UMNO tak perlu berhempas pulas untuk menang di Bagan Pinang.

UMNO tak perlu belanja besar untuk mengadakan projek ‘mee segera’ di Bagan Pinang. Apa yang perlu UMNO lakukan hanyalah cukup dengan menggunakan media perdana sebaik mungkin untuk menjauhkan orang bukan Melayu dari PAS.

Melalui media perdana UMNO akan mengambil peluang untuk melakukan perang saraf dengan menggambarkan PAS sebuah parti politik Islam yang ekstrim. Hukum Hudud dan Negara Islam ala PAS sudah tentu akan dimainkan semula oleh UMNO menjelang pilihanraya ini.

Kalau kita menggunakan strategi yang bijak, adalah tidak sesuai untuk pihak PR menurunkan calon PAS bagi mewakili mereka dalam PRK di Bagan Pinang ini. Calon yang mungkin lebih sesuai ialah dari parti PKR.

Parti PKR adalah parti yang sederhana yang boleh diterima oleh orang bukan Melayu dengan baik berbanding parti PAS. Peluang untuk PR menang di Bagan Pinang lebih cerah jika membenarkan calon dari parti PKR bagi mewakili PR bertanding di situ.

Tetapi apalah yang PR boleh buat, sudah tentu parti komponen dalam PR tidak mahu menyinggung perasaan parti PAS untuk mengusulkan cadangan ini.

Tentulah parti PKR tidak berasa selesa dan tidak manis kalau mereka meminta kepada PAS supaya calon PR yang bertanding di Bagan Pinang untuk kali ini diberikan kepada parti PKR. Semuanya ini terpulang kepada budibicara parti PAS sendiri.

Parti PAS tidak harus melihat kepada keuntungan jangka pendek sahaja dengan terus berkeras untuk mengekalkan calon mereka bertanding di Bagan Pinang. PAS patut melihat kepada keuntungan jangka panjang, keuntungan kepada PR secara keseluruhannya.

Bagi PAS kemenangan mungkin tidak begitu penting, bagi mereka perjuangan itulah yang lebih penting. Tetapi kita kena ingat juga, kalau kita hendak berjuang, strategi pun mesti ada juga.
Kalau PAS betul-betul hendak melihat PR menang dalam PRK Bagan Pinang ini, tentulah parti PAS tidak menolak untuk memberi peluang kepada parti yang lain dalam PR untuk mewakili kawasan itu.

Semasa berlaku tsunami politik pada pilihanraya 2008, PAS tidak dapat memenangi kawasan Bagan Pinang, apa lagilah bila keadaan gelombang tsunami politik yang semakin reda sekarang ini. Parti PAS kenalah mengambil kira perkara ini, ia boleh dijadikan alasan kuat kenapa PAS harus memberi peluang kepada parti komponen yang lain dalam PR untuk bertanding di PRK Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Kita begitu yakin, PAS sukar untuk memenangi PRK Bagan Pinang ini. Kekalahan PAS di Bagan Pinang bukan sahaja akan melemahkan moral parti PAS tetapi juga ia turut memberi kesan yang negatif kepada persepsi orang ramai kepada PR itu sendiri.

PRK Bagan Pinang adalah pilihanraya sangat penting bagi menentukan nasib masa depan BN dan PR, sehingga kepentingan parti bukanlah lagi menjadi suatu keutamaan dalam PRK Bagan Pinang ini.

Tuesday, September 15, 2009

Kempen kurangkan guna beg plastik gagal


KEMPEN mengurangkan penggunaan beg plastik yang telah dilancarkan secara besar-besaran tidak lama dulu kelihatan tidak menampakkan hasil yang memberangsangkan. walaupun banyak hypermarket yang popular seperti Jusco dan Giant telah ikut serta dalam kempen ini tetapi ini tidak dapat menjamin menjadikan kempen ini berjaya.

Kempen telah pun berlalu, orang ramai masih tidak mahu membawa beg sendiri semasa membeli belah seperti yang diharapkan dalam kempen itu.

Oleh itu kita kena menggunakan pendekatan lain bagi mengurangkan penggunaan beg plastik yang berluas-luasa ini, yang mana beg-beg plastik ini banyak menyumbang kepada pencemaran kesihatan dan alam sekitar.

Hampir semua barang-barang yang kita gunakan hari ini dibuat dari bahan plastik, termasuklah botol susu bayi.

Barang-barang plastik ini mempunyai bahan kimia bisphenol A (BPA) iaitu bahan yang boleh memudaratkan kesihatan manusia melalui makanan yang tercemar oleh bahan tersebut.

Beg-beg plastik yang dibuang bersama sampah sarap mengambil masa yang terlalu lama hingga ratusan tahun untuk mereput. Akhirnya banyak sampah-sampah plastik yang dibuang akan memenuhi longkang-longkang, parit-parit, sungai-sungai dan semuanya itu akan berakhir di laut. Laut akan menjadi tempat terkumpulnya segala sampah sarap.

Sudah ada kebimbangan sekarang di mana laut-laut di dunia ini sedang dicemari oleh buangan barang-barang plastik yang boleh menyebabkan pupusnya hidupan laut seperti ikan dan terumbu karang.

Selama ini laut adalah merupakan tempat pembiakan ikan-ikan yang menjadi sumber protin utama manusia, tetapi tindak-tanduk kita telah menyebabkan laut menjadi tempat pengumpulan sampah sarap dan tidak sesuai lagi untuk habitat kehidupan.

Sebagai langkah yang drastic, kerajaan boleh membuat undang-undang untuk melarang kedai-kedai menggunakan beg plastik. Pekedai-pekedai hanya dibenarkan menggunakan beg-beg plastik yang mudah reput (degradable plastic) sahaja.

Mungkin kita kena mencari alternatif kepada beg plastik, mungkin kita boleh bertukar kepada beg kertas atau beg yang dibuat dari jerami dan sekam bijiran yang terbuang, yang mana lebih mesra alam dan mesra kesihatan.

Selain itu, kilang-kilang hendaklah dilarang mengeluarkan beg-beg plastik melainkan beg plastik dari jenis yang mudah reput yang mesra alam. Pengimportan beg-beg plastik yang tidak mesra alam ini juga harus dilarang sama sekali.

Keadaan menjadi lebih teruk lagi kerana barang-barang plastik ini kebanyakan dibuat untuk barang-barang pakai buang, yang mungkin digunakan untuk sekali sahaja. Dengan itu menyebabkan lebih banyak barang-barang plastik ini akan dikeluarkan dan semuanya akan menambah timbunan sampah.

Mungkin kos beg plastik yang mesra alam dan mesra kesihatan lebih mahal sedikit tetapi kita akan mendapat keuntungan untuk jangka panjang.

Walaupun beg-beg plastik yang ada sekarang adalah murah, tetapi kesan dari pencemarannya boleh menyebabkan sumber makanan laut kita berkurangan dengan banyak, akhirnya kita terpaksa membeli ikan dengan harga yang sangat mahal.

Terumbu karang kita akan musnah, menyebabkan kita kehilangan produk pelancungan yang sangat berharga.

Kerajaan kita juga terpaksa menanggung kos perubatan dan kesihatan yang tinggi kerana ramai rakyat akan mendapat penyakit kesan dari bahan cemar plastik ini.

Sebenarnya kita akan terpaksa menanggung kos kehidupan yang amat tinggi untuk hidup di bumi yang telah tercemar teruk.

Kita mungkin boleh mewariskan harta kekayaan yang banyak kepada anak-anak kita untuk memastikan mereka hidup selesa semasa ketiadaan kita nanti, tetapi bolehkah kita menjamin mereka boleh hidup di muka bumi ini dengan sihat sejahtera kalau bumi sendiri telah tercemar.

Sebelum keadaan menjadi lebih parah, semua pihak kenalah bertindak dari sekarang.

Wednesday, September 09, 2009

Kearah mana pendulum politik Malaysia berayun sekarang?

Semasa pilihanraya kecil (PRK)di Permatang Pasir, Ahmad Maslan agak rabun dalam melihat kearah mana ayunan pendulum politik Malaysia sedang bergerak, hingga batang hidungnya sendiri penyek dilanggar pendulum tersebut.

Sekarang kita sedang berada hendak menghadapi PRK di Bagan Pinang Negeri Sembilan pula. Pilihanraya kecil Bagan Pinang ini adalah PRK yang ke 9 sejak pilihanraya umum 2008 lalu. Kita telah menyaksikan semua calon UMNO telah kalah dalam semua PRK yang disertainya sebelum ini.

Apakah PRK Bagan Pinang ini akan menjadi penutup kepada semua kekalahan PRK yang dilalui oleh UMNO? Apakah PRK Bagan Pinang ini akan menjadi tanda pendulum politik Malaysia telah berpatah balik kepada UMNO.

Peluang untuk UMNO menang dalam PRK Bagan Pinang memang sukar untuk ditolak. Di Bagan Pinang, UMNO adalah pihak yang mempertahankan kemenangan. Di pilihanraya sebelum ini, UMNO mendapat majoriti lebih 2000 undi, satu jumlah yang amat besar.

Rasanya tidaklah sukar untuk UMNO memenangi PRK Bagan Pinang ini. Tambahan pula UMNO mempunyai kelebihan untuk memanipulasi undi pos yang terdapat di kawasan itu yang jumlahnya sekitar 4000 undi itu. Ketelusan undi pos memang boleh dipertikaikan dan selalunya undi pos menjadi undi bonus kepada UMNO.

Kemenangan di Bagan Pinang sangat penting kepada UMNO. Kemenangan di Bagan Pinang tentu akan memberi suntikan semangat baru kepada ahli-ahli UMNO seluruh Malaysia yang telah ditimpa nasib malang dalam semua PRK sebelum ini.

Kemenangan di Bagan Pinang juga akan dapat mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap parti UMNO semula.

Calon yang ada integriti dan kredibiliti mesti menjadi pilihan utama kepada UMNO kalau mereka mahu menang dalam pertandingan ini.

Ada ura-ura ahli UMNO ingin mencadangkan Isa Samad bekas MB Negeri Sembilan sebagai calon UMNO di Bagan Pinang. Tetapi semua orang tahu Isa Samad pernah diambil tindakan disiplin atas kesalahan politik wang. Kita hairan bagaimana orang yang pernah dan jelas melakukan kesalahan besar ini boleh dicadangkan menjadi calon PRK yang sangat penting ini.

Kita sekarang berada di zaman internet, walau sekecil mana pun kesalahan seseorang akan dapat ditelanjangkan, apalagi kalau sebesar bangkai gajah.

Di pihak PR juga tentu ingin sangat dengan kemenangan di PRK Bagan Pinang ini. Pihak PR mahu pendulum politik Malaysia terus berayun kearah mereka sehinggalah ke pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kemenangan PR di PRK Bagan Pinang akan menjadi sebagai isyarat kepada mereka, bermakna mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menambah penguasaan politik ke atas Negeri Sembilan pula pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Kalau pendulum politik Malaysia masih berayun kepada PR, ada kemungkinan sekurang-kurangnya kerajaan Negeri Sembilan dan Terengganu sudah dapat diramal akan berada di bawah penguasaan politik mereka pada pilihanraya umum ke 13 nanti.

Pihak manakah yang benar-benar dapat menguasai PRK Bagan Pinang ini akan menarik perhatian semua. Ia adalah PRK yang sangat penting yang akan dikuti oleh seluruh rakyat Malaysia dengan penuh debar.

Langkah dan strategi diatur begitu rapi, tersilap langkah meranalah diri.

Friday, September 04, 2009

Teori Kedudukan Padang Masyar


Kalau kita meneliti kepada kandungan Al Quran, terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang Padang Masyar.

Secara terperincinya kefahaman kita tentang Padang Masyar ini adalah berbeza dari seorang kepada seorang yang lain. Apa pun pandangan kita terhadap Padang Masyar, ia adalah sesuatu yang harus diimani oleh setiap orang Islam. Kesahihan tentang wujudnya Padang Masyar ini memang tidak boleh dipertikaikan kerana ia disebut banyak kali di dalam Quran.

Menurut Quran, apabila sangkakala ditiup untuk kali kedua, ruh akan dikembalikan kepada jasad manusia. Manusia akan hidup semula dan akan keluar dari kubur masing-masing menuju ke permukaan ‘bumi’. Di waktu itu permukaan ‘bumi’ tidak lagi seperti yang kita lihat hari ini tetapi merupakan padang pasir yang bewarna putih yang teramat luas sayup mata memandang.

Kenapa permukaan bumi bertukar wajah?

Sebelum itu alam ini telah berlaku kiamat. Semasa terjadinya kiamat, semua gunung-gunung yang ada di bumi akan bergerak dan berterbangan seperti kapas. Semua bintang-bintang di langit berguguguran menuju ke bumi. Bintang-bintang yang besar ini akan berpadu dengan bumi lalu membentuk glob bumi yang sangat besar.

Saiz bumi yang bertambah berlipat ganda besarnya itu akan menghasilkan luas permukaan yang sangat besar juga yang akan dikenali sebagai Padang Masyar. Dengan keluasan permukaan yang berlipat ganda dari keluasan asal bumi maka dapatlah Padang Masyar ini menjadi tempat untuk menghimpunkan kesemua manusia yang bermula dari Nabi Adam hingga hari kiamat. Yang mungkin mencecah ratusan billion manusia.

Wallahualam.

Tuesday, August 25, 2009

TV3 selepas PR mengambil alih Kerajaan Persekutuan

WALAUPUN TV3 adalah sebuah setesen TV swasta di bawah syarikat Media Prima tetapi ia bukanlah sebuah setesen TV yang berpendirian bebas.


Siapa pun yang menonton TV3 akan mudah dapat menghidu kearah entiti politik mana TV3 ini lebih condong.

Memang kita akui TV3 juga tidak pernah ketinggalan dalam melapurkan berita-berita yang berlaku kepada parti politik pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) tetapi semua laporan yang berkaitan PR dihidangkan secara nagatif untuk tatapan penontonnya.

Manakala berita-berita yang berkaitan parti politik yang memerintah (BN) dipaparkan secara positif. Hanya perkara-perkara yang baik parti BN sahaja yang akan dipaparkan , manakala perkara-perkara yang buruk yang boleh mencemarkan parti BN pasti tidak akan di siarkan di TV3.

Bukanlah kita mahu TV3 berpihak kepada pembangkang, tetapi sebagai sebuah media di dalam sebuah Negara demokrasi, TV3 harus mewakili sebuah media yang adil dan professional dalam membuat laporan.

Lainlah kalau pihak PR juga diberi lesen untuk untuk mengendalikan stesen TV mereka sendiri, barulah mereka mendapat keadilan dimana mereka dapat menyampaikan pandangan dan suara mereka untuk didengar oleh rakyat jelata.

Apa yang kita lihat sekarang TV3 seolah-olah menjadi setesen TV parti BN, yang sentiasa menjadi alat propaganda dan alat kempen BN.

Apa yang sangat membimbangkan saya, apa akan terjadi kepada TV3 kalau PR menang dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Kemenangan PR dalam pilihanraya ke 13 ini bukan suatu perkara yang mustahil lagi.

Sudah tentu kalau PR menang dan menjadi parti yang memerintah, secara tradisinya kita tidak akan dapat menghalang setesen TV3 untuk condong kepada PR sebagai entiti yang berkuasa.

Kalau keadaan ini berlaku, alamatnya BN mungkin terpaksa mengambil masa 50 tahun lagi baru dapat memerintah semula. Kerana semua media perdana termasuk TV3 akan mengambil giliran terus menerus menyokong PR pula, menjadi alat propaganda dan alat kempen PR. Di waktu itu suara BN pula menjadi sangat sukar untuk sampai kepada rakyat jelata.

Oleh itu sampai masanya semua pihak, samada pihak BN mahupun PR perlu mengambil sikap tidak mengongkong atau mengawal semua media perdana yang ada di Negara ini termasuklah TV3 untuk kepentingan parti politik mereka. Berhentilah dari menjadikan media perdana ini sebagai alat propaganda dan alat kempen parti yang memerintah.

Sebagai Negara yang mengamalkan demokrasi, media perdana harus bersikap adil dan professional dalam membuat laporan. Media perdana tidak sepatutnya condong kepada mana-mana entiti politik.

Dengan adanya pengamalan media yang adil, beretika dan profesional, barulah rakyat dapat mendapat maklumat yang tepat dan dapatlah mereka membuat penilaian dengan betul. Hasilnya sistem demokrasi itu dapat berfungsi dengan baik, di mana yang terbaik akan terpilih.

Kita tidak mahu melihat media perdana berperangai seperti kanak-kanak, langsung tidak professional. Melapurkan satu pihak secara negatif dan melapurkan pihak yang lagi satu secara positif. Mana ada kelas gitu.

Wednesday, August 19, 2009

Harta Kerajaan bukan Harta UMNO




MASIH ramai rakyat yang masih keliru dengan penggunaan harta dan jentera kerajaan untuk urusan parti politik.

Mungkin kerana Negara kita telah begitu lama diperintah oleh satu parti politik sahaja sejak kita merdeka lebih 50 tahun dahulu menyebabkan hal ini telah menjadi amalan biasa yang tidak perlu dipertikaikan.

Selama ini parti BN boleh dikatakan selalu menang majoriti lebih dua pertiga dalam setiap pilihanraya. Malah pernah mencecah lebih 90% penguasaannya dalam dewan parlimen.

Harta kerajaan adalah merupakan harta rakyat, agak munasabah kalau di masa 90% rakyat mengundi dan menyokong UMNO, tidak mengapa kalau UMNO dan BN menggunakan harta kerajaan dalam urusan parti. Tetapi ini masih juga boleh dianggap sebagai tidak beretika dalam amalan demokrasi.

Apabila BN dan UMNO tidak dapat mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga lagi dalam pilihanraya 2008, ini bermakna hampir separuh rakyat Negara ini tidak akan bersetuju kalau UMNO dan BN menggunakan harta dan jentera kerajaan dalam urusan parti politik mereka.

UMNO dan BN harus akur dan mesti menerima kenyataan ini. Harta kerajaan adalah dibiayai melalui cukai yang dibayar oleh rakyat dan dari hasil Negara. Manakala urusan mana-mana parti politik harus dibiayai dari duit parti politik itu sendiri. Adalah sangat tidak beretika jika meyalahgunakan wang kerajaan dan jentera kerajaan untuk urusan parti politik.

Seorang menteri kabinet harus tahu membezakan kerja jabatan atau kementeriannya dengan kerja –kerja kepartiannya. Mesyuarat dalam jabatannya tidak sama dengan mesyuarat untuk partinya.

Menteri yang pergi melawat sekolah, bermesyuarat dengan pengetua-pengetua sekolah tidak sama dengan pergi merasmikan mesyuarat diperingkat cawangan parti atau peringkat bahagian parti. Satu berkaitan dengan hal jabatannya dan satu lagi berkaitan dengan urusan partinya.

Memang dia layak untuk menggunakan harta kerajaan dan jentera kerajaan bagi urusan kementerian atau jabatannya, tetapi adalah salah kalau dia juga menggunakan harta kerajaan dan jentera kerajaan untuk urusan partinya.

Kalau rakyat biasa tidak dapat memahami hal ini kita boleh maafkan, tetapi kalau seorang menteri sendiri pun tidak faham, amatlah kita kesalkan.

Datuk Nik Aziz MB Kelantan sentiasa membawa bersama-samanya dua batang pen. Satu batang pen dibiayai dari wang kerajaan dan satu lagi dibeli dengan wang sendiri. Pen dari wang kerajaan digunakan untuk menulis bagi urusan pejabatnya manakala bagi urusan peribadi dan lain-lainnya menggunakan pen yang lagi satu.

Sering juga kita lihat menteri-menteri yang pergi merasmikan mesyuarat parti politik mereka di waktu pejabat sedangkan mereka tidak mengambil cuti. Sedangkan gaji mereka adalah dibayar dari duit rakyat, lainlah kalau gaji mereka dibayar dari wang parti mereka.

Harus diingat, hasil Negara ini dan cukai dari rakyat bukanlah milik parti UMNO atau BN, kerana bukan semua 100% rakyat Negara ini adalah ahli atau penyokong parti BN. Kita bukan Negara kominis yang hanya ada satu parti saja.

Patriotik itu juga termasuk tidak menyalahgunakan harta kerajaan.

Pengkhianat itu pula termasuk orang yang membalun wang Negara.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan.

Monday, August 10, 2009

Flat Jalan Pekeliling yang penuh bermakna


DI ATAS adalah gambar Flat Jalan Pekeliling. Flat ini merupakan flat kos rendah yang boleh dikatakan antara yang terawal dibina di bandar Kuala Lumpur selepas Negara kita merdeka. Dikatakan dibina pada sekitar tahun 1967.

Atas sebab-sebab tertentu Flat Jalan Pekeliling ini bakal dirobohkan dan akan diganti dengan bangunan yang dapat memberi pulangan komersial yang tinggi kerana letaknya di kawasan strategik di dalam bandaraya Kuala Lumpur.

Saya tertarik dengan rekabentuk bangunan Flat Jalan Pekeliling ini kerana penampilannya yang sentiasa sesuai dengan perubahan masa. Walupun telah tegak lebih 40 tahun, dengan disekelilingnya telah dipenuhi dengan bangunan rekabentuk yang moden tetapi Flat Jalan Pekeliling ini sentiasa kelihatan tidak asing dan sentiasa secucuk dengan bangunan-bangunan lain itu.

Hanyalah kain baju disidai oleh penghuni-penghuni yang selalu mencacatkan imej pemandangan Flat Jalan Pekeliling ini yang kebetulan terletak menghadap Jalan Tun Abdul Razak, jalan utama ibukota yang sangat sibuk dengan lalu lintas.

Selain dari itu, saya amat mengkagumi Flat Jalan Pekeliling ini kerana flat ini kelihatan seperti mendapat sentuhan kemasan pembinaan yang sangat tinggi kualitinya. Walaupun hanya berbentuk kotak tetapi dinding dan garis lantainya kelihatan begitu lurus yang melambangkan ketelitian dan sikap amalan baik orang-orang yang terlibat dalam pembinaannya.

Inilah antara sebab yang membuatkan rupa bentuk Flat Jalan Pekeliling ini tidak ditelan zaman, sentiasa kelihatan ‘evergreen’ dan tidak ‘out of fashion’.

Ini jauh berbeza dengan bangunan-bangunan tinggi kos rendah yang dibina selepas itu, seperti Flat Sungai Bharu di Kawasan Kampung Baru, Flat Bukit Chagar dan Flat Larkin di Johor Bahru. Kalau kita perhatikan flat-flat ini mempunyai binaan dinding dan garisan lempar yang senget dan herot.

Apabila masa berlalu penampilan seni arkitek bangunan-bangunan ini kelihatan tidak lagi cucuk dengan bangunan-bangunan moden yang tumbuh disekitarnya. Akhirnya bangunan-bangunan ini kelihatan asing dan hodoh kepada persekitaran.

Memang banyak bangunan-bangunan tinggi kos rendah dan sederhana yang dibina masa sekarang ini kelihatan begitu cantik jika dilihat dari jauh tetapi bila kita lihat dari dekat, kita akan nampak kemasan lepaan simen dan susunan batanya yang senget dan herot.

Persepsi Awal

Apabila berjumpa dengan seseorang yang tidak kita kenali, tentulah yang pertama dapat kita lihat ialah rupa paras dan pakaiannya sahaja. Dari rupa paras dan pakaiannya itulah kita akan membuat penilaian awal terhadap seseorang yang baru kita kenali.

Begitu jugalah dengan orang luar yang datang berkunjung ke Negara kita. Pertama kali sampai mereka akan Nampak bangunan-bangunan yang ada dinegara kita. Sudah tentu dari rupa bentuk dan kualiti pembinaan bangunan yang mereka lihat itu, sudah dapat memberi gambaran awal kepada mereka terhadap sikap orang-orang kita rakyat Malaysia.

Dari kualiti binaan yang senget dan herot itu mencerminkan sikap orang kita yang senonim dengan budaya 'cincai', 'tidak apa' dan 'asal boleh'.

Samalah seperti kalau kita berkunjung ke kota London, di sana kita akan nampak banyak bangunan-bangunan yang menggunakan kemasan susunan batu bata. Batu bata itu disusun begitu teliti sehingga menjadi begitu lurus tanpa ada mana-mana sedikit pun yang senget dan herot.

Ini sudah tentu mencerminkan budaya penduduk-penduduk disana yang sangat mementingkan kerja yang teliti dan berkualiti tinggi.

Bagaimana kita hendak menjadi bangsa berjaya dan kelas pertama dunia tanpa ada sikap dan budaya kerja yang mementingkan kualiti, termasuklah bersikap amanah, komited dan berintegriti.

Tandas

Tandas biasanya adalah bahagian rumah yang paling kurang diberi perhatian. Maknanya tandas biasanya adalah bahagian yang paling tidak bersih dalam suatu kawasan bangunan atau rumah.

Tetapi jika penghuni sesebuah bangunan atau rumah mengambil berat tentang kebersihan tandas mereka, tentu ini membawa makna bahagian-bahagian lain bangunan dan rumah itu juga sudah tentu jauh lebih bersih lagi.

Oleh itu dengan hanya melihat dan melawat tandas sesebuah pejabat, organisasi, syarikat atau rumah, kita sudah boleh menilai tabiat dan sikap orang-orang bekerja dan menghuni di premis tersebut.

Kalau kita hendak menjadi rakan kongsi atau mendapat khidmat syarikat-syarikat atau hendak merisik seorang gadis untuk dikahwini, rasanya pun sudah memadai hanya dengan melawat tandas-tandas pejabat atau rumah mereka bagi mengetahui tabiat dan sikap mereka itu.

Kalau tandas pun mereka begitu ambil berat dan kebersihan sentiasa terjaga, apatah lagi dengan perkara-perkara yang lebih besar.

Orang tidak akan mengumpat dan mencaci kita kerana rumah kita buruk, tetapi mereka akan mengata kita kalau rumah kita kotor.

Boikot Barangan Yang Membiayai Kekejaman Israel